Baja fertigasi / baja ab

Apakah baja AB / baja fertigasi?

Fertigasi adalah kaedah membekalkan baja kepada tanaman melalui air yang disiram. Maksudnya baja yang digunakan mestilah dari jenis yang larut air. Lazimnya baja fertigasi dipanggil sebagai baja AB. Ini adalah kerana baja fertigasi dibahagikan kepada 2 set, iaitu set A dan set B. Setiap set mengandungi nutrien dan mikronutrien tertentu yang diperlukan oleh tanaman. Baja AB selalunya memadai untuk kebanyakan tanaman.

Di pasaran, baja AB dijual dalam beberapa saiz / amaun, misalnya 10 L, 50 L dan 100 L. Baja AB 10 L bermaksud sejumlah tertentu set A dan B yang perlu dilarutkan sepenuhnya dalam 10 L air (secara berasingan, sebagai larutan stok baja A dan B). Kemudiannya sejumlah tertentu larutan stok A dan B (dengan isipadunya yang sama) perlu dicampurkan dan dicairkan sekali lagi untuk mencapai kepekatan tertentu bersesuaian dengan tanaman yang ingin dibajakan. Kepekatan larutan campuran yang dicairkan ini selalunya diukur menggunakan alat yang dipanggil EC Meter. Alat ini sebenarnya mengukur tahap pengaliran elektrik oleh larutan baja, yang menggambarkan kepekatan baja. Unit ukurannya adalah mikro Siemens. Tanaman yang berbeza memerlukan nilai kepekatan baja AB yang berlainan.

Bagi pokok tin kepekatan larutan campuran baja AB yang disyorkan adalah dalam julat 2.6 – 3.2 mikro Siemens. Perlu diingat bahawa kepekatan sebenar larutan camputan baja AB ini hanya boleh ditentukan menggunakan alat seperti EC Meter. Walau bagaimanapun, sebagai anggaran, pencairan larutan stok sebanyak 6 kali ganda (misalnya 0.5 L larutan stok A dan 0.5 L larutan stok B dicairkan dengan 30 L air) akan menghasilkan kepekatan sekitar 3.0 mikro Siemens (ini hanyalah anggaran sahaja, adalah lebih baik ukuran kepekatan dibuat menggunakan EC Meter).

Kekerapan penyiraman larutan baja AB ni agak pelbagai, ada yang mengesyorkan 2 – 3 kali sehari dan ada pula sekali sehari. Saya sendiri menggunakan baja organik sebagai tambahan, selain baja AB. Saya menggunakan baja AB sekali setiap 2 hari dan baja organik sekali seminggu. Penggunaan larutan baja AB adalah 100 – 150 mL setiap kali untuk setiap pokok, manakakala penggunaan baja organik pula adalah 100 – 150 g (2 – 3 senduk) setiap kali untuk setiap pokok. Baja organik yang saya gunakan adalah Baja Organik Attia.

Semoga bermanfaat.

yakon

Tanaman Yakon (Yacon) adalah spesies yang berasal dari Columbia dan Argentina. Secara tradisionalnya Yakon ditanam untuk ubinya (umbisi) yang agak manis. Ubi Yakon mengandungi sebatian yang dipanggil inulin, iaitu bahan yang memberikan rasa manis pada ubi ini.

Pokok Yakon boleh tumbuh sehingga mencecah ketinggian 2 m, menghasilkan bunga seperti bunga matahari, tetapi agak kecil.

Tanaman ini hampir tidak diketahui selain dari tempat asalnya, sehinggalah pada awal 2000 tanaman ini dilaporkan berjaya menurunkan kandungan gula dalam darah oleh penyelidik Jepun. 

Kini beberapa syarikat telah menghasilkan produk sirap Yakon dan teh Yakon yang mula dikenali di kalangan pengidap diabetik.

sayuran kering

Sayuran kering mempunyai penggemarnya tersendiri. Dengan adanya sayur kering tiada alasan lagi untuk tidak memakan sayur jika tidak berkesempatan ke pasaraya, ataupun ke pasar tani. Sayur-sayuran kering tetap membekalkan keperluan nutrien yang diperlukan oleh badan. Adakah sayuran kering sebaik sayuran segar? Sayuran segar sudah tentu yang terbaik. Namun sayuran kering memberi pilhan kepada pengguna.

Sayuran kering mempunyai kandungan nutrien yang hampir sama dengan yang segar. Selalunya pengeringan yang baik mengurangkan hanya sedikit sahaja kandungan nutrien berbanding dengan yang segar. Hampir semua mineral, vitamin A dan vitamin B akan kekal. Walau bagaimanapun vitamin yang lebih mudah meruap seperti vitamin C dan beta karotin akan hilang lebih banyak semasa pengeringan. Pengeringan pada suhu rendah, ataupun pengeringan sejuk-beku dapat mengatasi masalah ini.

sumber: greenbelly.co

Sayur kering, pengeringan sejuk beku ataupun serbuk?

Sayuran kering boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk, bergantung pada kaedah pengeringan dan pemprosesan yang dilalui. Ada yang dipanggil sebagai nyah-hidrasi, pengeringan sejuk-beku dan serbuk. Setiap jenis mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Selalunya pengguna memilih lebih daripada satu jenis, bergantung pada jenis sayuran, dan juga jenis penyediaan / masakan.

sayuran nyah-hidrasi

Sayuran nyah-hidrasi dihasilkan dengan menggunakan dehidrator, iaitu, kandungan air dalam sayuran disingkirkan dengan mendedahkan sayuran kepada aliran udara yang agak panas. Oleh kerana udara panas digunakan, sedikit kandungan vitamin tertentu mungkin akan hilang. Sayuran juga akan menguncup serta menjadi lebih keras. Kaedah ini adalah paling polular kerana tidak melibatkan kos yang tinggi. Kaedah untuk menggunakannya selalunya dibekalkan, seringkali melibatkan perendaman untuk mengembalikan kandungan air.

Pengeringan sejuk-beku

Kandungan air dalam sayuran disingkirkan dengan menggunakan sedutan vakum pada suhu lembapan membeku. Proses seperti ini mengurangkan kehilangan vitamin dan mineral. Proses ini juga mengekalkan bentuk asal sayuran. Sayuran ini boleh dimakan terus, ataupun direndam untuk mengembalikan kelembapan.

sayuran serbuk

Sayuran serbuk selalunya dihasilkan dengan menghancurkan sayuran nyah-hidrasi. Sayuran serbuk boleh saja ditaburkan dalam hidangan lain untuk mendapatkan manfaat daripadanya, ataupun dijadikan smoothie dengan dicampur bersama ingredien pilihan masing-masing.